Friday, February 19, 2010

Sekularisme Membarah dalam Masyarakat Islam

Tahukah anda apa itu sekularisme? Mengikut Wikipedia, sekularisme ialah ideologi bahawa urusan keduniaan seperti politik, pentadbiran dan undang-undang harus dipisahkan dari urusan keagamaan. Sekularisme juga boleh bermaksud fahaman yang menggalakkan idea atau nilai sekular dalam ruang awam atau peribadi. Mereka yang berpegang kepada fahaman ini adalah dipanggil golongan sekularis.

Dengan kata lain, sekularisme adalah satu metodologi barat untuk memusnahkan umat Islam secara halus tanpa disedari. Dan ia memang telah berlaku kini. Kejatuhan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah pada 1924 adalah antara contohnya, yang dijalankan oleh pengkhianat Mustafa Kamal Attarturk melalui pelbagai pembaharuannya yg melenyapkan terus unsur2 keislaman di Turki (rujuk post di bawah). Kata2 William Edward Gladstone, seorang mantan PM Britain zaman Queen Victoria satu ketika dahulu:


“Selagi mereka ( umat Islam ) berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari kitab ini”.


Ini adalah salah satu daripada pelan mereka untuk memusnahkan Islam secara perlahan-lahan, dengan memisahkan kita dari agama Islam atas alasan modenisasi, yakni satu cabang dari ideologi sekularisme.

Kemunculan aliran pemikiran dalam Islam berkembang pesat dengan kemasukan falsafah Greek pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Kemasukan aliran ini bukan sahaja meresap masuk dalam pemikiran tokoh-tokoh Islam malah turut mewujudkan beberapa disiplin ilmu khususnya dengan kelahiran ilmu kalam. Kesan dari kelahiran ilmu ini, maka terbentuklah dua aliran aqidah yang bententangan antara satu sama lain. Aliran tersebut merangkumi aliran al-Mu’tazilah dan al-Asyairah.

Walaupun pengaruh falsafah Greek atau lebih tepat lagi pemikiran barat dapat dimurnikan tokoh-tokoh Islam seperti Imam al-Ghazali, namun aliran pemikiran ini kemudiannya menular masuk dalam pelbagai bentuk selepas jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah. Aliran pemikiran barat ini bukan sahaja menjadikan akal sebagai tunjang utama malah cuba memisahkan agama dari kehidupan manusia. Hal ini dapat dilihat dengan rosaknya agama Yahudi dan Nasrani apabila diresapi fahaman falsafah yang pelbagai sehingga menolak peranan wahyu.

Pada masa kini, Kemunculan aliran sekularisme yang secara jelas bersifat anti agama dan berasaskan budaya hawa nafsu sedikit banyak menghancurkan pemikiran umat Islam. Menurut Muhammad Naquib al-Attas Sekularisme bermaksud pembebasan manusia dari segi agama dan metafizik. Ia juga dapat didefinisikaan sebagai satu ideologi atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam setiap aspeknya selain dari ibadah keagamaan di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran, dan nilaian duniawi semata-mata. Dalam erti kata lain ajaran ini menolak ukuran agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara disamping menjadikan pemenuhan tuntutan duniawi sebagai matlamat tertinggi dan sebenar manusia. Akibat dari menjadikan akal sebagai tunjang utama kehidupan, timbul pelbagai aliran pemikiran dalam masyarakat mengikut acuan yang tersendiri seperti Komunisme, Kapitalisme, Libelisme, Pluralisme dan Hedonisme.


Budaya Hedonisme

Hedonisme menurut pengertian kamus dewan ialah
pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Manakala Drs Sudarsono dalam bukunya Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja terbitan Bina Aksara pula mengatakan Hedonisme sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan kelazatan atau nikmat. Dalam Erti kata lain mereka beranggapan bahawa kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup.

Menyoroti sejarah, fahaman Hedonisme didokong Aristipus (433-355 B.C), salah seorang murid Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya mengatakan yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan, hal ini terbukti kerana sudah sejak masa kecil manusia berasa tertarik akan kesenangan dan apabila telah menikmatinya, ia tidak mencari sesuatu yang lain dan menajauhkan diri dari ketidaksenangan.

Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus (341-270 B.C) dengan mengatakan tujuan hidup untuk kesenangan dan kedamaian. Dalam fahaman ini, Epicurus menekankan bahawa ‘kebaikan’ tidak mungkin akan difahami andainya kita menolak unsur kelazatan dalam hidup kita termasuk kelazatan indera rasa, cinta serta kelazatan lain yang dapat dilihat dan didengar oleh penglihatan dan pendengaran. Bahkan asas kepada segala kabaikan adalah kelazatan yang dirasai perut sehinggakan ilmu, kebijaksanaan, budaya, dan tamadun umat manusia mesti merujuk kepadanya. Manakala kelazatan minda pula dikatakan sinonim dengan proses berfikir tentang kelazatan-kelazatan yang dicapai oleh unsur fizikal tersebut.

Dalam pemikiran terkini berkaitan Hedonisme, G.E Moore (1873) dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau dilihat masih berpegang kepada konsep ‘baik’ yang bertitik tolak kepada keseronokan dan menegaskan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat. Sekiranya diteliti hedonisme merupakan salah satu cabang fahaman Sekularisme. Ajaran Sekularisme telah meletakkan lima prinsip utama sebagai neraca dalam alirannya.

Prinsip Vetalisme - menekankan apa-apa yang berbentuk kuat dan menguntungkan dari segi kebenaran akan dianggap baik.

Prinsip Kreativiti - meletakkan sesuatu yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baru akan dianggap sabagai baik dan bermutu.

Prinsip Relative - pula menekankan tidak ada sesuatu konsep dan pemahaman terhadap sesuatu fakta atau teori yang bersifat mutlak dan kekal. Sebaliknya semuanya boleh berubah mengikut perubahan zaman dan perkembagan ilmu pengetahuan.

Prinsip Hedonisme - pula menggariskan apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik , manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap buruk.

Prinsip terakhir pula menganggap majoriti masyarakat sebagai pemutus. Aliran ini menganggap pilihan majoriti adalah baik.

Islam Dan Hedonisme

Islam sangat memandang berat pemikiran-pemikiran yang cuba menganggu umat Islam. Hal ini kerana sekiranya pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan aqidah umat Islam. Sedangkan Aqidah berfungsi sebagai tonggak seluruh perancangan hidup manusia khususnya yang menyentuh aspek perancangan ummah.

Lazimnya, perbincangan mengenai akidah akan turut melibatkan persoalan Iman.Konsep Keimanan adalah mengenai individu yang mempunyai akidah yang benar dan mempunyai tiga elemen penting merangkumi pegangan kuat berasaskan keyakinan, wujudnya unsure ketundukan yang tulus dalam sanubari manusia terhadap apa yang diimaninya dan yang terakhir adanya unsur cetusan atau ransangan dalaman dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di alam kenyataan dengan berusaha untuk menyelaraskan seluruh aktiviti hidup hariannya berasaskan nilai-nilai keimanan tersebut. Ini kerana individu tersebut tidak boleh bersabar melihat segala aktiviti hidup dilangsungkan berasaskan bentuk dan kaedah yang bertentangan dengan asas-asas keimanan yang terpendam jauh dan kental dalam hati sanubarinya.

Merujuk kepada defenisi diatas, jelas sekali budaya hedonisme amat bertentangan dengan akidah umat Islam. Hal ini kerana budaya hedonisme mementingkan kebebasan fikiran sedangkan Aqidah Islam meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai paksi pemikiran.

Selain itu dalam pengertian ‘kebaikan’ terhadap individu, Pandangan Islam amat bertentangan dengan konsep ‘kebaikan’ dalam Hedonisme. Islam melihat konsep ‘kebaikan’ adalah melibatkan pembangunan ummah yang memberi fokus kepada aspek pembangunan berteraskan ketuhanan atau kerohanian berbanding dengan kemajuan yang berbentuk kebendaan agar manusia bukan sahaja mendapat ‘Kebaikan’ di dunia tertapi juga mendapat ‘kebaikan di akhirat’. Manakala ‘Kebaikan’ yang dibawa hedonisme adalah apa-apa yang berbentuk keseronokan.

Secara kesimpulannya, Hedonisme menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan. Keseronokan ini diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini sedikit sebanyak bertepatan dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan manusia bebas dari unsur ketuhanan. Selain itu, keseronokan yang diputuskan oleh individu boleh menyebabkan penentangan antara satu-sama lain. Sebagai contoh seorang individu menganggap membunuh adalah perkara yang menyeronokkan manakala seorang individu lain menganggap ia sesuatu perkara yang menakutkan. Jadi, secara jelas konsep pemikiran hedonisme tidak relevan digunakan dalam hal ini kerana boleh mewujudkan pertentangan pemikiran.
Akan tetapi, amat malang sekali remaja Malaysia sekarang banyak terdedah dengan pemikiran ini samada sedar atau tidak. Sekiranya tidak dibendung, pemikiran ini akan menghancurkan masyarakat Malaysia suatu hari nanti.

So, hati2 ok..

No comments: